Skip to main content

Mak Cik Ini


Pada suatu pagi yang hening di satu hujung minggu selepas solah subuh, seperti biasa saya bersama-sama isteri beriadhah dengan membuat ”morning walk” di kawasan perumahan tempat saya tinggal. Agak susah juga isteri saya ni nak ikut, maklumlah kami masih ada anak kecil yang perlukan perhatian. Namun selepas beberapa ”pesuasion” barulah beliau nak ikut saya beriadhah.

Ketika kami melalui sebuah tempat di deretan beberapa buah kedai tiba-tiba saya terpandang seorang perempuan tua yang sedang berjalan seorang diri. Di tangannya terdapat sebatang kayu seperti sebuah tongkat tetapi tidak di gunakan. Badannya agak bongkok tetapi masih ”slim”. Tidak nampak padanya tanda-tanda kesakitan atau kepenatan.Saya berkata kepada isteri saya ”Eh, kuat juga mak cik ni berjalan”, isteri saya menjawab ”Yaa...lah”.

Entah kenapa tiba-tiba saya merapati beliau lalu memberi salam kepadanya, ”Assalamualaikum, mak cik”. Beliau tidak menjawab tetapi sebaliknya merenung muka saya, mungkin terkejut agaknya. Saya rasa gelabah juga. Saya melemparkan senyuman kepada beliau lalu beliau membalas senyuman saya. Hah, lega hati saya, manalah tahu takut-takut dia marah atau menjerit ke, sudah tentu susah saya di buatnya. Tiba-tiba beliau berkata ”Ini nenek, dah tua dah , nampak je sihat tapi dah tua. Cucu pun dah ramai. Macam nilah mak cik tiap-tiap hari dok berjalan pagi-pagi. Ini nanti nak beli sarapan sikit kat depan restoran tu” Begitulah ucapan beliau yang menunjukkan seperti lorat utara. ”Mak cik duduk mana? Saya bertanya lagi. ”Fasa 7 sana, rumah anak mak cik. Depa tidur lagi. Mak cik asal Sg Petani”, jawab beliau. Untuk meringkaskan cerita saya meneruskan pertanyaan beberapa soalan,lalu beliau dengan senang hati menjawab ”Nama Mak cik Hajah Fatimah Sham, umuk Mak cik dah 76 tahun. Alhamdulillah sehingga kini mak cik tak dak apa-apa sakit, masih sihat, cuma sound Mak cik ni saja agak kurang sikit. Mak cik jalan tiap-tiap hari.......dan seterusnya. Selepas beberapa ketika saya sudah tidak mahu menggangu perjalanan dia lalu saya bertanya soalan terakhir, ”Apa petua Mak cik selama ini”, beliau dengan wajah penuh bersemangat berkata ”Sebenarnya petua Mak Cik senang je :-

1. Mak Cik banyak HAFAL ayat-ayat Al Quran spt Yasin, Al Mulk, Juzuk Amma dan lain-lain
2. Mak cik baca 6 BISMILLAH setiap hari (saya tidak pasti apa maksud beliau ini)
3. Mak cik hanya makan nasi 4 HARI SEKALI. Hari-hari lain Mak cik makan quaker oats dan lain-lain. Yang minyak-minyak memang Mak cik kurang.”

Tergamam juga saya dengar ceramah Mak cik ini. Dalam hati saya ”matilah aku kalau hanya makan nasi 4 hari sekali. Mana tahan” Saya pandang muka isteri saya, dia tersenyum je, mungkin dia tahu apa yang bermain dalam fikiran saya. Kami kemudian meninggalkan Mak cik tersebut dan meneruskan perjalanan sambil masing2 tak terkata apa-apa, mungkin memikirkan cerita makan nasi tadi.

Akhirnya saya memecahkan kesunyian lalu berkata kepada isteri saya ”Kalaulah semua wanita mengikut petua Mak cik ni, dah tentu banyak kerja-kerja dakwah boleh dijalankan. Ini dak, umur 40 je masing-masing dah gaduh sakit pingganglah, lenguhlah dan lain-lain”. Saya lihat muka isteri saya serius je, mungkin marah agaknya kerana di rasakan saya cuba nak sindir dia. Hai Sekali-sekala bergurau di hujung minggu dengan isteri.

Comments

Popular posts from this blog

10 Muharram

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.

Surah al-Baqarah ayat 286.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.