Skip to main content

Muhasabah diri melalui Azan

Salam pembuka bicara..
(Sebelum tu ana minta maaf kalau ana terdouble post atau salah letak kategori keatau tag.....minta maaf banyak-banyak)


Berbicara tentang Azan..
Azan dalam Islam iaitu bermaksud memaklumkan.Ia sinonim dengan bilal ataupun para muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan rukun kedua Islam.Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh ke tengahari hingga ke malam.

Namun,cuba kita tanyakan diri..apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengar Azan berkumandang?Adakah kita senyap dan menghayati setiap kalimah Azan yang dilaungkan dan menjawab dengan sebaiknya?Atau adakah kita bingkas bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' untuk mengerjakan solat?Atau pun adakah kita membiarkan Azan yang berkumandang itu habis sendiri sedangkan kita masih petah berbicara dan berbual dengan rakan?Berlainan lagi dengan Azan melalui corong radio mahupun tv,berapa banyak yang terus menghayati daripada terus beralih ke rancangan yang lain? Tepuk dada tanyalah Iman,bicaralah pada fikiran.
Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan Azan itu...

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
-Sebutan 4 kali ini dan menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT dan lantas menyedarkan kita betapa kebesarannya mengatasi segala apa yang ada di langit dan bumi.Waktu ini seharusnya difokuskan pada fitrah seorang manusia sebagai khalifah.Tinggalkan segala duniawi dan seharusnya mengingatkan kita tentang kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.No excuse to miss.

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
-Sebutan sebanyak 2 kali yang memberi kesaksian tentang sifat Esa Allah.Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita.Sesungguhnya dengan solat lah syahadah kita terjaga.Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita.Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama didunia?

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
-Sebutan sebanyak 2 kali ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw.Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.Lalu,selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabatnya.Betapa pengorbanan dan Akhlak Nabi menjadi contoh bagi sekalian umat.Betapa sayangnya Nabi pada Umat hingga nafas terakhirnya masih menyebut “ummati..ummati..”.Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya.Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya.Cinta kita masih tak setanding cinta Nabi pada umatnya.

Marilah mendirikan solat
Marilah mendirikan solat
-Sebutan 2 kali yang membawa kita mengajak untuk menunaikan solat.Dan sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah.Laungan lantang ini mengajak kita untuk menunaikan solat.Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya.Sudah ditetapkan ada 5 waktu solat Fardhu perlu ditunaikan.Seandainya kita mengelak,dengan alasan tidak bersedia dan sebagainya,namun ia tetap dikira sebagai ‘Hutang’ disisi ALLAH.Dan kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum Tuhan yang melunaskan untuk kita(Azab Neraka).Bilakah agaknya kita baru bersedia untuk solat dengan sempurna dan bilakah agaknya ada masa yang cukup untuk menggantikan segala solat yang tertinggal?Dan sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok.Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.Lalu solatlah diawal waktu.

Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan
-Sebutan 2 kali yang sama banyak dengan panggilan solat.Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya disisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk menuju kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi akhirat.Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita,tapi betapa kalimah ALLAH dan suruhan-suruhannya ditegakkan.Tinggalkan dahulu kerja duniawi untuk mengerjakan solat,kerana pada solatlah bermaknanya kejayaan.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH
-Diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT.Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH.Manusia itu mudah lupa dan lemah..tapi ALLAH itulah kekuatan kita.Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari perbuatan cela.Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman tanpa sebarang alat pembesar suara pun sudah terpujuk.Kenapa Azan yang bersuara lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?Walhal,syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan Azan menunjukkan betapa Azan ini mampu memberi rasa gentar pada syaitan.Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut,tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH itu disebut?

Ingatlah..selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan ini dilaungkan,persiapkan diri untuk solat.Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga,kerana andai panggilan menghadapNya sudah tiba,sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.Akhir kata..segala yang baik datang dari ALLAH SWT dan yang buruk pun datang dari ALLAH SWT atas kelemahan diri sendiri..Wallahu wa’lam…

Comments

Popular posts from this blog

Surah al-Baqarah ayat 286.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.